Sunday, September 26, 2010

AL HUJURAAT: 6


Salam,

Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu


Mari kita sama-sama renungkan dalam kehidupan seharian kita. Berapa banyakkah berita-berita yang tidak benar, separa benar, fitnah dan sebagainya berlegar-legar di sekeliling kami. Berapa banyakkah antara berita-berita itu kita terima bulat-bulat tanpa ada inisiatif mencari kebenarannya dan akhirnya kita dibodohkan oleh orang-orang yang ingin kita sentiasa dalam keadaan bodoh. Terbiasa dengan budaya hidup 'disuap' dengan maklumat, kita membiarkan diri kita diperkotak-katik dan diperbodoh tanpa ada keinginan untuk berubah. Terlalu selesa dengan budaya 'disuap' ini sehingga kita menafikan hak orang-orang yang teraniaya dengan cerita-cerita tipu oleh si keji yang tidak beradab.

Bukankah Allah telah memperingatkan kita dengan sepotong ayat di atas betapa pentingnya kita menyelidiki setiap maklumat yang kita terima? Bukankah itu adalah hak kita untuk sentiasa menerima maklumat yang benar agar tidak terjebak melakukan dosa menyebarkan fitnah dan menganiaya orang lain? Selesakah kita dengan budaya percaya bulat-bulat dengan apa yang diterima? Sedangkan budaya inilah sebenarnya menjahanamkan kita dan agama kita.

Sudikah kita diperbodoh-bodohkan oleh pencacai pemecah umat seagama yang sememangnya berfungsi sebagai perosak untuk kepentingan diri dan orang-orang yang ingin 'dikipas'nya. Sudah sekian lama kita membiarkan diri kita ini alpa dengan peringatan Allah di atas. Sudah sampai masanya agar kita lebih rajin mencari kebenaran lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia kita sekarang di mana ia dipenuhi dengan manusia-manusia yang bertuhankan nafsu dan kepentingan.

Kita harus sedar, kejahilan dan sikap sambil lewa kitalah yang menjadikan kita lemah dan bodoh. Kerana inilah kita terus bergaduh, berlawan dan berpecah tanpa sebab. Kita terlalu jauh dengan Allah. Kita terlalu jauh dari peringatannya. Satu ayat inipun kita tidak mampu laksanakan dengan baik sedangkan hanya satu ayat ini pun kita mampu melakukan perubahan yang amat besar. Betapa ruginya kita yang jauh dari peringatan-peringatan Allah ini.

Kita harus renung ayat ini sungguh-sungguh. Jangan biarkan diri kita ditipu si fasik, si munafik, si kafir yang memusuhi dan ramai lagi. Peluang kita terbentang di hadapan untuk mencari kebenaran. Kita bukan hidup di zaman batu atau zaman dulu di mana maklumat sukar dan jauh. Maklumat cuma di hujung jari . Susah sangatkah bagi kita mengangkat jari ini untuk mencari kebenaran?

Tepuk dada tanya iman

No comments:

Post a Comment