Friday, December 11, 2009

AGENT PROVOCATEUR


Salam

Agak lama sebenarnya tidak mengisi ruangan blog ini atas keterbatasan waktu yang agak kelam kelibut kebelakangan ini. Walaupun pelbagai isu menyentuh hati dan perasaan tetapi ketidakupayaan untuk mengikuti sesuatu isu membantut keinginan untuk memberi pandangan dan komen peribadi. Namun begitu, satu isu benar-benar menarik perhatian saya dan mungkin ramai juga di kalangan sahabat-sahabat sekalian.

Agent Provocateur: satu istilah yang bukan baru tiba-tiba menjadi benar-benar popular di dada akhbar bahasa inggeris yang saya baca sejak akhir-akhir ini. Walaupun menyedari wujudnya istilah ini namun tidaklah pula tergambar bahawa ia sebenarnya memang wujud secara rasmi di negara kita. Biarlah saya terangkan serba sedikit latar belakang di sebalik istilah ini.

Mungkin ramai di kalangan kita yang mengikuti perkembangan kes dua ADUN bebas Perak yang menyokong BN yang juga sedang dalam proses perbicaraan kes rasuah mereka. Mengikuti kes ini membuatkan kita belajar banyak perkara baru di sebalik tabir gaya kerja sesetengah agensi kerajaan yang ada di negara kita secara langsung dan tidak langsung. Di dalam prosiding kes ini beberapa orang saksi yang dipanggil membongkar rahsia di sebalik ruang lingkup mereka sebagai seorang pegawai kerajaan dan secara spesifiknya sebagai seorang pegawai MACC

Agak memeranjatkan bagi saya bilamana tugas mereka adalah untuk memprovokasi seseorang untuk melakukan sesuatu kesalahan atau dalam bahasa yang lebih mudah melakukan dosa. Bukanlah dosa yang kecil yang dimaksudkan tetapi memprovokasi mereka untuk melakukan dosa yang besar iaitu menerima rasuah, mengkhianati amanah dan melakukan zina. istilah pekerjaan ini memang nampak hebat tetapi saya meragui nilaian moral dan nilaian agama di sebalik apa yang mereka lakukan.

Adakah Islam membenarkan seseorang untuk menggalak/memprovokasi/memberi peluang kepada seseorang yang lain melakukan sesuatu dosa untuk membuktikan bahawa orang itu memang berdosa? Apakah di dalam perkara ini mereka melaksanakan kerja ini hanya berdasarkan arahan semata-mata tanpa memikirkan soal natijah dosa pahala perbuatan mereka? Bila memikirkan bahawa kedua-dua pegawai itu orang Islam yang mempunyai seorang ketua Islam yang duduk di bawah satu agensi yang rata-rata pimpinan atasan mereka juga orang Islam membuatkan saya rasa takut mereka melampaui batas

Apakah dalam pada mereka bertugas itu mereka mensyaratkan supaya apa sahaja tindakan mereka mestilah syariah compliance atau berdasarkan akal semata? Lebih memeranjatkan bila mana dalam salah satu pengakuan saksi menyatakan bahawa mereka mengupah seorang pelacur untuk menjadi wanita yang akan diberi kepada mereka-mereka yang ingin diperangkap itu. Terpinga-pinga saya memikirkan sejak bila pula negara kita membenarkan perkara ini berlaku? Seolah-olah memberitahu masyarakat kita bahawa pelacur diiktiraf oleh kerajaan untuk melaksanakan kerja bagi pihak mereka.

Bagi saya, ini bukanlah perkara kecil. Jika mereka menggunakan alasan apa sekalipun untukmenghalalkan perlakuan mereka, ia tidak seharusnya melampaui batas. Mungkin ini bukanlah kali pertama cerita ini berlaku kerana saya percaya mereka pasti telah menggunakan taktik ini berulang-ulang kali. Ini dibuktikan melalui perakuan salah seorang saksi bahawa dia pernah menyamar sebagai isteri kedua dalam kes yang lain.

Secara peribadi, perkembangan ini amat menakutkan bagi saya. Jika ia jatuh ke tangan mereka yang tidak bertanggungjawab, perbuatan ini pasti akan digunakan berulang-ulang kali untuk merosakkan imej sesiapa sahaja yang mereka tidak suka. Bayangkan diri anda tiba-tiba dituduh memberi rasuah oleh seorang lelaki yang sebenarnya bekerja dengan agensi ini yang pastinya mempunyai seluruh kuasa kerajaan untuk menjadi back up dirinya? Adakah anda mampu melepaskan diri?

Hanya Allah sahaja yang mampu membantu kita pada saat itu.

1 comment:

  1. Takutnya....
    Rasanya dah lama wujud kat tempat kita nih, malah di mana-mana..
    tulah dunia.. nauzubillah.

    ReplyDelete