
Salam
Lari sebentar dari isu-isu semasa dan kembali semula kepada satu isu yang sangat dekat di hati dan masih lagi menjadi dilema walaupun secara dasarnya sudah pun membuat keputusan apa yang perlu dibuat bila masanya tiba. Satu perkara yang sangat penting untuk difikirkan kerana ia melibatkan masa depan anak-anak kita dan pastinya perkara ini tentulah menjadi satu perkara pokok yang sentiasa bermain di fikiran semua ibu bapa.
Pendidikan.
Masih teringat lagi semasa saya masih kecil dulu bagaimana ibu bapa saya memberikan penekanan tentang perkara pendidikan ini. Ilmu yang dicari adalah tiket untuk menepuh masa depan dengan lebih baik dan tiada apa perkara pun yang mampu menggantikan tempat mencari ilmu ini. Ilmu adalah sesuatu yang sangat bernilai dan wajib dikejar walau bagaimana susah sekalipun dan walau banyak mana sekalipun cabaran yang perlu ditempuhi.
Ilmu adalah pintu kejayaan dan ketenangan.
Namun begitu, ilmu kini seperti menjadi medan untuk bersaing dan pertunjukan di antara satu sama lain sehingga mana intipati pencarian ilmu itu tidak lagi menjadi prasyarat dalam mengejarnya. Ilmu menjadi sumber perniagaan dan ilmu seolah menjadi alat untuk mendera anak-anak kita pada hari ini. Lihat sajalah bebanan pelajaran yang harus dipikul oleh anak-anak pada zaman sekarang. Sejak dari umur 3 atau 4 tahun anak-anak telah pun mula dipasak dengan pelbagai jenis pelajaran dan ujian dan kerja rumah yang pada zaman saya dahulu adalah dikira tidak masuk dek akal.
Anak-anak sekecil 3-4 tahun sudah pun dihantar ke 'sekolah'. Diajar A-Z, mengira, membaca, menghafal dan sebagainya bila mana secara peribadinya saya beranggapan anak-anak ini terlalu kecil untuk dibebankan dengan perkara-perkara tersebut. Bukankah umur-umur sebegitu adalah masa mereka untuk bermain-main meneroka alam dan bermanja-manjaan? Perluklah kita sebagai ibu bapa 'memaksa' anak-anak kita ke sekolah sejak umur kecil hanya kerana tidak mahu ketinggalan?
Saya tidak nampak apakah kelebihannya menghantar anak-anak pada umur terlalu muda hanya untuk memuaskan nafsu ibu bapa yang hanya ingin melihat anak-anak mereka kelihatan pandai dari rakan sebaya lain. Selalu terdengar ibu bapa mendabik dada anak-anak sudah pun pandai membaca seawal umur 3 tahun namun adakah itu sebenarnya cara mereka perlu dibesarkan? Secara peribadi saya menganggap menghantar anak-anak ke sekolah pada umur terlalu muda tidak jauh bezanya dengan penderaan. Inilah yang dikatakan sebagai penderaan psikologi
Bukankah lebih baik anak-anak ini dibiarkan menikmati alam kanak-kanak mereka dengan riang dan gembira? Saya kira tanpa ada kehidupan kanak-kanak yang baik mana mungkin kita mampu menghasilkan manusia-manusia yang hebat dari segi EQ nya. Anak-anak kita sudah cukup terbeban dengan sistem persekolahan rendah dan menengah yang sedia ada. Lihat sajalah orientasi pelajaran di negara kita. Semua adalah berorientasikan keputusan semata-mata. Dari performans para guru dan sekolah sehinggalah kepada performans anak-anak semuanya berorientasikan keputusan peperiksaan.
Anak-anak dihantar ke pelbagai jenis tuisyen samada anjuran sekolah dan yang dihantar ibu bapa hanya kerana untuk memastikan anak-anak dapat lebih banyak A dalam peperiksaan. Bangun seawal 6 pagi untuk ke sekolah, menggalas beg yang hampir sama berat dengan tubuh badan mereka dan pulang lewat petang sama seperti ibu bapa yang bekerja pejabat. Selepas sekolah anak-anak perlu pula menghadiri kelas-kelas tambahan anjuran sekolah. Malam pula diisi lagi dengan kerja rumah bertimbun dan tuisyen. Hujung minggu juga dipenuhi dengan belajar, belajar dan belajar.
Untuk apa semua ini? Semuanya kerana tekanan yang dihadapi oleh sistem untuk menghasilkan lebih banyak A dari sebelumnya. Apa sudah jadi dengan kehidupan anak-anak sekarang? Tekanan hidup seperti ini bukanlah sesuatu yang indah. Adakah kita merancang untuk menghasilkan robot tanpa jiwa dan kreativiti? Anak-anak hanya diajar bagaimana nak menjawab peperiksaan. Hafal, hafal dan hafal. Kerja, kerja dan kerja.
Berbatu-batu jauh bezanya dengan zaman kanak-kanak saya dulu. Tidak pernah menghadiri tuisyen dari darjah 1 hingga 6. Tiada tuisyen juga di sekolah menengah. Tidak pernah guru sekolah rendah saya menyuruh saya membeli pelbagai buku latihan. Sehingga SPM pun buku rujukan saya hanyalah buku-buku teks yang dibekalkan sekolah. Tiada buku rujukan. Petang tiada aktiviti melainkan bermain. Malam tidur awal kerana keletihan bermain. Tiada pula pernah saya perlu berjaga malam hanya kerana kerja sekolah. Adakah saya membesar menjadi bodoh kerana itu? Tidaklah pula. Adakah saya ketinggalan semasa peperiksaan UPSR, PMR atau SPM atau Matrik? Seingat saya, saya jauh ke depan bahkan mungkin lebih baik dari kawan-kawan yang ke tuisyen siang dan malam.
Bukan tujuan membangga diri tetapi adakah saya juga akan terperangkap dengan kitaran rosak ini dengan membebankan anak-anak saya dengan tekanan ini? jawapannya adalah seratus peratus tidak. Pendidikan bukan untuk menghasilkan robot tetapi manusia-manusia yang berhati perut dan berfikiran waras. Apa guna 20 A jika emosinya lebih baik sedikit sahaja dari robot? Apalah guna 20 A jika hidupnya terbeban dari sekecil 3 atau 4 tahun? Saya tidak nampak ianya berbaloi. Anak-anak kita dalah amanah yang tiada nilai gantinya. Mana mungkin kita sebagai ibu bapa mahu menyiksa anak-anak hanya kerana ingin berbangga dengan kebolehan-kebolehan yang pastinya akan mereka perolehi bilamana cukup umur mereka ke sekolah nanti.
Anak-anak zaman ini sudah terlalu terbeban. Tanggungjawab ibu bapalah untuk membantu mengurangkan beban mereka.