Saturday, March 19, 2011

BILA MELAYU KURANG KEYAKINAN DIRI

Isu Alkitab dan perkataan ‘Allah’ sekali lagi menjadi isu utama di semua saluran media massa yang terdapat di negara kita. Isu ini semakin hangat bilamana pihak kementerian dan menteri yang bertanggungjawab boleh dikatakan gagal untuk memberikan satu keputusan yang mampu memuaskan hati semua pihak. Dalih demi dalih yang diberikan hanya mampu menggambarkan kelemahan dalam membuat keputusan dan juga ketakutan mereka kepada apa yang bakal berlaku jika mereka tidak mampu meredakan kegelisahan di kalangan orang Melayu Islam di negara ini. Pelbagai pihak memberikan pandangan mereka dan seperti biasa pendapat-pendapat ini terbahagi pula kepada dua kem berbeza yang lebih menggambarkan kecenderungan politik pihak yang memberikan pendapat walaupun sbenarnya ia tidak seharusnya begitu.


Di sebalik kenyataan dari Sheikh Yusuf Qardhawi, Persatuan Ulama Malaysia, Ustaz Fathul Bari (Ulama dari Umno) dan kenyataan dari beberapa ulama dari PAS, isu ini masih menemui jalan buntu di mana keresahan orang Melayu secara umumnya masih tidak dapat diredakan secara baik. Ini boleh disahkan oleh kenyataan dari Mufti Perak Tan Sri Harussani yang mendakwa bahawa ramai orang Melayu yang tidak berpuas hati dengan masalah ini dan ketakutan beliau bahawa peristiwa yang serupa dengan insidens yang berlaku tahun lepas semasa isu ‘Allah’ sedang hangat bakal berulang. Seharusnya, jika difikirkan sedalam-dalamnya, pendapat seorang ini tidak cukup untuk menjadi kayu ukur tetapi keresahan ini ada asasnya. Persoalan mengapa Tan Sri Harussani tidak menjadi ‘peacemaker’ dalam hal ini tidaklah perlu dipertikaikan kerana pendirian beliau dalam hal ini amat jelas pada pendapat saya.


Tidak dapat dinafikan ketakutan segelintir orang Melayu dalam dalam hal ini tidak boleh dipandang enteng. Ketakutan ini diterukkan lagi dengan pendirian pemimpin yang tidak jelas dan kelihatan berdolak dalih dan juga mentaliti segelintir orang Melayu secara umumnya. Bila saya perkatakan mentaliti, ia membawa konotasi bahawa mentaliti ini adalah hasil dari ‘tarbiyyah’ pemimpin sedia ada sekarang. Mentaliti ketakutan dan rasa tidak percaya pada orang lain dan juga kurangnya keyakinan pada diri sendiri hasil dari dididik dalam suasana perlu dibantu sepanjang masa.


Mengapa saya katakan ramai di kalangan mereka kurang keyakinan diri dalam hal ini? Ini kerana isu perkataan ‘Allah’ yang sepatutnya menjadi peluang untuk mereka lebih dekat denga orang Kristian disalahertikan menjadi isu ketakutan mereka terhadap potensi peluang dakwah orang Kristian di bumi Malaysia. Ia seolah-olah menggambarkan betapa lemahnya penghayatan orang Melayu kepada agamanya menyebabkan mereka merasa ragu-ragu jika sekiranya orang Kristian dibenarkan menggunakan perkataan itu, pendirian mereka pada agama mereka akan goyah dan akan berbondong-bondonglah orang Melayu masuk Kristian.


Mungkin kelihatan dangkal bagi kebanyakkan orang tetapi inilah dia mentaliti yang membawa kepada isu yang tidak berkesudahan ini dan akan tetap menjadi isu selagi mana segelintir orang Melayu di Malaysia rasa kurang keyakinan diri dan masih lagi berminda dijajah. Apalah sangat jika difikirkan ancaman Alkitab versi Melayu dan penggunaan perkataan Allah ini jika dibandingkan dengan beratus tahun dijajah dan gerakan-gerakan lain yang mengancam integriti agama Islam. Walaupun kita boleh mengatakan bahawa bahasa itu mempengaruhi perkembangan sesuatu agama tetapi dengan cara opresi sebegini ia akan mengakibatkan pandangan kepada orang Islam secara keseluruhannya akan menjadi buruk. Orang Islam akan kelihatan tidak tolerans dan paranoid.


Kekurangan jatidiri dalam jiwa segelintir menjadi ‘archilles heel’ dalam sikap toleransi dan keterbukaan agama ini sendiri. Umat Islam seharusnya tidak takut dengan orang lain tetapi melihat perkara ini sebagai satu peluang dan bukan ancaman. Pendapat ulama-ulama, norma amalan masyarakat arab dan indonesia dan pelbagai lagi pendapat lain menjurus kepada umat Islam menjadi lebih terbuka da tidak takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Adalah tidak adil untuk kita menyekat ruang orang lain hanya kerana kelemahan kita sendiri untuk membina kekuatan dan jatidiri. — Zaid A. Rostam (malaysianinsider's reader)

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

No comments:

Post a Comment