Hari Jumaat lepas saya telah berpeluang untuk menghadiri taklimat berkenaan SBPA yang menjadi bualan hangat kebanyakan warga kerja sector kerajaan pada hari ini. Pada masa CUEPECS cuba untuk mendapatkan lebih masa untuk warga kerja menandatangani skim baru ini, kebanyakkan warga kerja yang saya temui lebih mengambil berat tentang berapa banyak gaji mereka akan naik dengan skim terbaru ini. Tidak ramai yang benar-benar ingin tahu apa di sebalik skim baru ini
.
3 sesi berturut-turut diadakan untuk member peluang semua warga kerja jabatan kerajaan mendengar dengan lebih teliti apa yang ada di sebalik skim baru ini dan sememangnya di akhir setiap sesi, semua sudah hampir pasti apa yang perlu dilakukan.
Penerangan bermula dengan pegawai yang member taklimat memberikan sedikit info latar belakang skim ini dilaksanakan. Dengan harapan bahawa skim ini bakal member sesuatu ekstra kepada perkhidmatan, skim ini pastinya amat dinanti-nantikan oleh semua.
Sedikit insidens yang saya rasa amat memualkan rasa ialah bilamana pegawai yang member penerangan asyik mengulang ayat ‘arahan dari atas, semua kena sign’. Seolah-olah ingin member tahu kepada kami bahawa kami sebenarnya tiada pilihan selain dari menurut perintah ini.
LAwak jika difikirkan penafian berkali-kali di dalam media bahawa tiada paksaan bagi semua pegawai kerajaan sedangkan apa yang berlaku di dalam penerangan adalah berbeza. Memang benar mereka tidak memaksa tetapi saya merasakan orang yang kurang pandai pun akan faham bahawa kami diarahkan untuk tandatangan.
‘Kalau tak sign?” Tanya seorang doctor. Jawapan: tak naik gaji la doctor. Umpan naik gaji disaji berkali-kali di dalam penerangan ini menjadikan seolah-olah kesemua kami lebih mementingkan gaji dari keadilan skim ini kepada kami. Adakah saya menentang skim ini? Tidak juga. Malahan banyak perkara di dalam skim ini yang saya kira sekiranya ia dilaksanakan dengan baik akan member natijah yang baik bukan sahaja kepada imej pegawai kerajaan tetapi kebaikan kepada rakyat secara keseluruhan.
Selepas dihidangkan dengan pelbagai perkataan dan ayat-ayat yang disusun berbunga-bunga dan bombastic, kami dihidangkan dengan senarai berpuluh-puluh perjawatan yang bakal dijumudkan. Adil untuk mengatakan bahawa saya juga bersetuju secara dasar kepada penjumudan kepada jawatan-jawatan yang saya fikir sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi diperlukan dalam perkhidmatan.
Mereka yang mempunyai jawatan yang bakal jumud sememangnya tiada pilihan selain menerima skim baru ini. Jika menolak maknanya mereka akan automatic dibersarakan. Bagi mereka yang memilih untuk kekal, mereka mungkin akan diserapkan ke perjawatan lain yang lebih sesuai.
Seterusnya kami diterangkan tentang ‘exit policy’. Dua kumpulan:
Kumpulan pertama: SKT tahunan kurang 70 markah akan diberi tempoh percubaan 6 bulan untuk membaiki prestasi dengan tempoh percubaan boleh dilanjutkan sehingga 24 bulan. Jika prestasi masih tidak memuaskan, mereka boleh dibersarakan oleh kerajaan
Kumpulan kedua: mereka yang mempunya rekod perkhidmatan yang memuaskan namun tidak mempunyai peluang untuk dinaikkan pangkat atau tiada pangkat yang lebih tinggi atau gagal dalam ujian PROSPEK boleh memilih polisi ini.
Saya secara dasarnya amat menyokong perkara ini sekiranya ia dilaksanakan dengan baik. Pada masa ini semua orang tahu bahawa amat sukar untuk menyingkirkan pegawai kerajaan yang tidak berkhidmat dengan baik walaupun melakukan pelbagai perkara yang merosakkan perkhidmatan. Inilah Masanya untuk kerajaan menyingkirkan ‘deadwood’ dalam perkhidmatan dan memastikan setiap pegawai melakukan tugas mereka dengan baik.
Berdasarkan skim baru ini juga lebih mudah untuk pegawai kerajaan berhenti dari perkhidmatan tanpa perlu mmberikan notis sehingga tujuh bulan dan lebih mudah untuk diterima kembali ke perkhidmatan tanpa perlu kebenaran khas. Apa yang menarik, senioriti juga tidak terjejas.
Sekiranya kita memilih skim ini juga bermakna umur persaraan kita automatic akan menjadi 60 tahun.
Bagi urusan kenaikkan pangkat pula, selepas PTK dihapuskan, pegawai kerajaan perlu melalui satu proses penapisan yang dipanggil prospek. Untuk pegawai PnP dan ke atas mereka perlu melepasi dua komponen PROSPEK iaitu komponen ujian bertulis dan komponen kualiti kendiri. Menariknya ini seolah-olah penjenamaan semula PTK. Difahamkan juga tiada ‘time based’ promotion untuk pegawai seperti yang berlaku sebelum ini. Maknanya sekiranya anda tidak lulus PROSPEK, anda tidak layak untuk dinaikkan pangkat walaupun anda sudah menjadi pakar. TAPI, penceramah ini menekankan bahawa gaji akan terus naik..huh..bosan.
Di saat ini tiba-tiba dewan menjadi sedikti gamat kerana para doctor sedikit terkesan dengan keperluan lulus PROSPEK tersebut. Doktor memang tidak suka ambil peperiksaan.
Gaji. Semua orang akan naik dengan skim baru ini. Bukan satu anak tangga gaji tetapi DUA untuk tahun hadapan. Skim gaji juga berubah menjadi satu para sahaja. Tiada lagi system P1, P2 atau P3. Semua orang seronok mendengarnya dan masing-masing sibuk bertanya berapa gaji mereka akan naik. Saya rasa jika mereka tidak terang perkara lain pun tidak mengapa kerana sebaik sahaja perkara gaji disentuh, masing-masing dah mula angkat kaki.
Bagaimana dengan mereka yang tidak memilih untuk tandatangan? Sekiranya mereka tidak mahu menandatanganinya sekarang, tiada peluang kedua akan diberikan selepas ini kecuali bagi mereka yang tebukti tidak mengetahui mengenai perkara ini dalam masa 2 minggu akan datang. Tahniah kepada para JUSA kita kerana gaji pokok mereka akan diganda duakan selepas menandatangani skim baru ini. Bermaksud gaji pokok 7000 menjadi 14000 dalam sekelip mata. Lagi tak mahu sign ka?
Penceramah tiba-tiba menyatakan inilah sebabnya CUEPECS tidak mahu mengarahkan pegawai kerajaan tandatangan sekarang kerana mereka mahu kenaikkan yang lebih tinggi untuk semua orang seperti yang JUSA perolehi.
Adakah saya akan menandatanganinya? Jawapannya adalah ya. Kenapa? Kerana ini adalah arahan. Yang tidak mahu tandatangan tidak diberikan banyak penerangan apa yang bakal berlaku kepada mereka. Adakah mereka akan dianaktirikan kerana tidak mematuhi saranan kerajaan bagi skim baru? Wallahu’alam.
Tapi. Memang saya nak sign pun walaupun tiada perkataan diarahkan kerana tiada apa yang perlu ditakutkan sekiranya kita tidak melakukan apa-apa masalah. Lagipun tuhan saya kan Allah, bukan kerajaan Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment