Thursday, May 20, 2010

BERBILANG JEMAAH


Salam

Tidak saya di sini untuk mengulas tentang hukum hakam di sebalik perkataan itu mahupun ingin menyatakan yang mana patut diikut atau yang mana tidak. Namun, ada sesuatu yang dirasakan patut dipandang serius oleh semua orang yang sayangkan agama ini dan sayangkan segala bentuk perjuangan untuk meninggikan kembali agama ini di muka bumi.

Tidak dinafikan bahawa di Malaysia sahaja kita mempunyai pelbagai pertubuhan dan pergerakan yang berteraskan Islam. Pertubuhan dan pergerakan ini samada berbentuk parti politik, NGO, extended usrah group, pergerakan pelajar, alumni dan macam-macam lagi semuanya kasihkan Islam dan bergerak hanya kerana sayangkan agama ini.

Namun begitu satu penyakit yang agak merunsingkan ramai orang ialah wujudnya sikap taksub dan persaingan tidak baik di kalangan mereka-mereka ini. Mereka menjadi tertutup dan tidak mampu lagi membuka minda mereka kepada idea-idea atau pendapat-pendapat yang dikira bukan dari kalangan mereka. Apa sahaja yang dikaitkan dengan diri mereka adalah benar belaka seolah-olah sempurna dan sebarang idea yang kelihatan sedikit bercanggah atau berbau kritikan akan segera dicantas dan ditidakkan dengan cara yang kadang-kadang tersasar jauh dari nilai Islami yang mereka ingin perjuangkan.

Sesetengah dari mereka akan terus melenting dan beremosi bila mendapati ada pihak yang ingin menegur atau menyatakan pendapat. Mereka menjadi marah dan sampai tahap sanggup pula menghina dan memperkecilkan pertubuhan atau pergerakan orang lain. Mentaliti 'aku sahaja yang betul' ini amatlah merosakkan dan mampu memecahbelahkan golongan pencinta agama. Pergerakan mereka semuanya cantik-cantik belaka dan apa yang dilakukan hampir sepanjang masa adalah mencari kekurangan dan cela orang lain untuk meningkatkan 'kemuliaan' gerakan sendiri.

Akhirnya, kita bukan melawan orang yang bencikan Islam tetapi orang yang juga kasihkan Islam sama seperti kita. Kerugian besarlah kita bilamana ini terus berlaku. Kita tidak akan mampu menjadi kuat walaupun kita ramai di luar sana. Jika dilihat dan dihitung-hitung pergerakan yang berbau ISlam di Malaysia sahaja, saya berpendapat kita sudah harus berasa bangga dan mampu tersenyum. Namun kita masih tidak mampu menjadi kuat kerana ketidaksepakatan kita. Masing-masing ingin menjadi hero dan jaguh dan akhirnya menimbulkan persaingan yang tidka sihat sesama kita.

Cuba bayangkan bilamana kita mampu bersatu. Segala bentuk dana, tenaga, masa dan kepakaran pastinya dapat digunasama pada bila-bila masa. Walaupun kita bukan dari gerakan yang sama tetapi matlamat kita yang sama sahaja sepatutnya sudah cukup untuk kita bergabung tenaga dan bersatu hati. Cuba buang mentaliti pengkelasan pada diri kita dan pandanglah matlamatnya. Pasti kita mampu lebih jauh lagi.

Jangan fikir kita sahaja yang betul dan orang lain tidak. Terima kritikan dan perbetulkan dan perkukuhkan apa yang kurang. Jangan mudah melenting atau marah bila kita dikatakan tidak betul tetapi cuba cari di mana apa yang kurangnya dan bergerak dari situ. Memang mudah untuk berpecahbelah tetapi bersatu bukanlah sesuatu yang mustahil. Salurkan tenaga ingin bersaing itu dengan cara yang betul dan pastinya hasilnya haru dibanggakan.

Patutkah kita mula dengan berlapang dada dalam menerima kritikan? Saya berpendapat di situlah salah satu titik tolaknya. Semoga kita semua mampu berjaya seperti gerakan-gerakan lain yang boleh dibanggak di serata dunia. Insya Allah

No comments:

Post a Comment