Wednesday, March 10, 2010
BUANG 'BAYI' TUA
Salam,
ingin membawa satu isu menarik yang saya rasa patut dikongsi bersama sebagai satu perkara yang perlu difikirkan oleh semua orang dan sebagai satu iktibar. Mungkin pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa di negara kita dan perbuatan hina ini sentiasa mendapat tempat di media-media masa mahupun internet dan sebagainya. Dikupas dan diulas secara panjang lebar. dikaji dan dikaji sehingga tidak tahu yang mana hujung dan yang mana pangkal kerana perkara yang sama tetap berlaku saban hari dan saban tahun. Mungkin perangai busuk ala Yahudi ini bukanlah sesuatu yang sangat serius untuk ditangani secara keras tidaklah mampu saya mentelahnya.
Satu lagi golongan yang mungkin terabai dan tidak kedengaran suara mereka kerana sememangnya tidak waras pun untuk bersuara. Dan jika sekiranya boleh bersuara sekalipun, suara mereka tidak diambil kisah kerana mereka sudahpun dilabel si gila yang tidak boleh dipakai kata-katanya. Mungkin tidaklah begitu ketara kerana tiada siapa pun yang mahu mewakili mereka kerana mungkin kerana tiada apa-apa manfaat yang boleh diperolehi dari si gila-si gila ini. Pernahkah anda melihat orang-orang yang tidak waras yang berkeliaran di mana-mana pun? Pernahkah anda terfikir di manakah keluarga mereka ini sehingga sanggup membiarkan sahaja manusia-manusia ini terus tenggelam dalam dunia mereka? Pernahkah anda terfikir yang mereka ini juga sebenarnya adalah orang-orang yang mungkin telah dibuang keluarga seperti juga bayi-bayi itu?
Orang gila di negara kita masih belum mencapai satu tahap bahawa mereka juga patut dihormati dan mempunyai hak mereka. Kerana tebalnya prasangka dan negativiti terhadap golongan ini menyebabkan tiada siapa pun kisah kecuali jika sekiranya mereka mengganggu orang lain. Itupun bukannya mereka dibantu dengan baik, bahkan mereka dilayan seperti sampah dan dihna dan dikritik seperti tiada nilai. Kekadang jika dilihat baik-baik, layanan terhadap mereka ini lebih teruk dari si penagih atau mana-mana penjenayah sekalipun. Mereka dianggap tiada nilai kerana tiada 'suara'.
Pernah berjumpa dengan keluarga yang ingin terus membuang golongan ini bila mana mereka mendapat peluang. Mereka seboleh-boleh tidak mahu ada kaitan lagi dengan si gila ini dan jika boleh mahu 'melenyapkan' terus orang-orang ini dari salasilah keluarga mereka. Banyak sebabnya: kerana malu jika dikaitkan dengan si gila, takut dan taboo masyarakat, kononnya renyah menjaga mereka dan sebagainya. Pelbagai alasan digunakan untuk memastikan mereka tidak perlu lagi bertanggungjawab. Jika ada pusat mental, mereka mahu hantar ke sana sehingga sigila ini mati di sana. Ingin dihantar jauh-jauh agar si gila tidak mungkin mampu balik. Mahu lakukan segala-galanya asalkan mereka selesa.
Penyakit gila ini menjadi racun bagi waris-waris mereka. Mereka geli dan terasa terhina kerana dikaitkan dengan si gila. Mereka benci si gila kerana si gila itu gila walaupun mungkin si gila itu ibu, ayah, anak, adik, abang atau kakak mereka sendiri. gila boleh memutuskan silaturrahim sedangkan apalah salah mereka ditakdirkan gila. Ini bukan penyakit yang dicari seperti si penagih dadah atau si pengguna pelacur atau si homoseks. Namun mereka tidak pun dianggap manusia lagi. Tiada siapa mahu kisah menjaga dan menghantar mereka untuk dirawat. Jika dihantar pun hanya ketika si gila membuat masalah.
Tiada siapa yang benar-benar mahu menjaga kebajikan si gila dari segi ubatnya. sedangkan dengan ubat si gila ini mungkin boleh kembali warasnya dan mungkin boleh membantu mereka juga. Bila mereka buat hal, barulah terhegeh-hegeh mencari rawatan di hospital. Kadang-kadang bukannya kerana ingin mendapatkan rawatan sangat tetapi untuk mencampak si gila ke wad-wad gila agar mereka selesa di rumah. Bila diminta kerjasama dalam merawat mulalah bersilat gayung dengan orang yang ingin merawat seolah tanggungjawab untuk menjaga orang gila adalah tanggungjawab perawat dan tiada kena mengena langsung dengan mereka.
Adilkah layanan sebegini terhadap mereka? Sama-samalah kita fikirkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Mungkin mereka kurang pendedahan terhadap peranan sebenar mereka. Barangkali boleh diadakan program-program tertentu oleh pihak hospital bagi menyuntik kesedaran kepada masyarakat...?
ReplyDelete