Sunday, March 21, 2010

BUAT BAIK SELALU RUGI


Salam


Pepatah apa yang saya gunakan tidak perlulah untuk dipersoalkan tetapi mungkin sangat sesuai untuk difikirkan bersama. BUAT BAIK SELALU RUGI. Bukanlah ajaran baru saya atau saya terkeliru dengan penggunaan kata-kata namun seakan itulah realitinya dalam kehidupan kita seharian di dunia ini. Tidak benar untuk menyatakan pernyataan ini benar kerana kita sememangnya dijanjikan dengan ganjaran yang pasti dari Tuhan kita di dunia yang satu lagi nanti.


Mengapa saya mengemukakan tajuk inilah yang perlu saya kupas lagi kerana bagi saya adalah amat penting untuk kita sama-sama tinjau dan timbang terutama bilamana kita ada anak-anak yang perlu dididik dan dipandu ke arah jalan yang betul. Falasi bahaya orang baik sentiasa menderita banyak digambarkan di dalam rancangan-rancangan TV kita. Orang baik sentiasa kelihatan menderita di tanagn orang yang berhati busuk dan penuh dosa. Orang baik sentiasa ditekan dan dikhianati hari demi hari dan penderitaan mereka seolah-olah terlalu sukar untuk ditelan oleh kita sendiri.


Adakah ini realiti sebenar kehidupan orang baik? Saya sedikit skeptik. Menderita sepanjang masa manakala orang yang jahat sentiasa gembira, bersuka ria dan menikmati kehidupan dalam kejahatan. Seolah-olahnya menjadi jahat adalah lebih bahagia dan menyeronokkan kerana orang baik tidak mampu berbuat apa-apa selain berdoa dan berdoa. Walaupun benar si jahat tadi akhirnya digambarkan menerima pembalasannya tetapi mungkin penderitaannya hanya digambarkan dalam satu atau dua episod terakhir sahaja.


Jika dibandingkan dengan penderitaan si baik dari awal episod hingga hampir ke hujung, adakah terlintas juga di fikiran kita yang mana sebenarnya lebih baik kehidupannya? Bagi anak-anak kecil yang sedang dalam proses belajar untuk hidup, ini bukanlah sesuatu yang ingin kita sogokkan kepada mereka. Bilamana kita cuba mendidik mereka bahaya buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas buruk oleh Tuhan, mereka didedahkan pula dengan idea yang berbeza di kaca TV. Cuba kita tinjau siri drama yang ada di TV sekarang, adakah kita berjumpa dengan satu drama yang menggambarkan kebahagiaan orang yang berbuat baik? Kadanag-kadang sahaja.


Saya mungkin segolongan kecil yang tidak mampu untuk bersetuju dengan pendekatan drama sebegini kerana bagi saya dengan pengaruh TV yang ada sekarang ini, ia adalah salah satu media yang sangat poten dalam mempengaruhi generasi baru kita. Pernahkah kita terlintas bahawa pengaruh ini bakal menggagalakan usaha kita mendidik anak dengan baik? Jika diri kita sekalipun, tanpa ada kefahaman akhirat, adakah kita sanggup menjadi orang baik jika sebegitu buruk akibatnya di dunia ini?


Orang baik lemah, orang jahat kuat. Orang baik mudah tertipu, orang jahat bijak dan licik. Orang baik miskin, orang jahat kaya raya. Orang baik hamba, orang jahat tuan. Orang jahat senang lenang, orang baik melarat dan merana. Mana lebih baik di kaca mata anak-anak? sama-samalah kita fikirkan.

1 comment:

  1. Pengutaraan isu yang bagus. Tidak pernah terfikir selama ini.

    ReplyDelete