Awang Selamat seperti juga dengan namanya akan sentiasa selamat selagi mana beliau tidak menukar namanya kepada nama beliau yang sebenar seperti di dalam kad pengenalan beliau. Awang Selamat akan pasti sentiasa selamat kerana segala apa kata-kata dan pendapatnya sentiasa diberi perlindungan sebagai pandangan peribadi beliau walaupun pada kenyataannya pandangan beliau itu dibaca oleh ribuan rakyat Malaysia kerana ianya ada di dalam media arus perdana.
Awag Selamat akan sentiasa menjadi hero bagi orang-orang sependapat dengannya dan pastinya sentiasa diangkat menjadi wira bangsanya kerana dialah yang secara istiqamah hampir pada setiap minggu mengeluarkan pendapatnya yang boleh dikategorikan sebagai yang paling rasis di negara kita ini. Tiada siapa yang mampu menjadi sebegitu rasis di Malaysia dan sentiasa diberi peluang minggu demi minggu untuk mengutarakan pendapat beliau di ruangan khas di akhbar dan dilindungi pula pendapat beliau itu.
Katakanlah, Lim Kit Siang atau Tuan Guru Nik Aziz atau Anwar Ibrahim berkata seperti yang beliau kata maka akan hampir kiamatlah Malaysia kerana 'kemarahan' puak pelampau ini yang pastinya akan memalu gendang bahawa mereka-mereka ini terlalu rasis untuk keselamatan Malaysia. Cuba jika Namewee pula yang berlagu gurindam sebegitu, maka pastinya Namewee sudah lama disumbat ke dalam ISA dan tidak akan keluar lagi kerana telah mendatangkan ancaman kepada negara.
Awang Selamat sememangnya kebal di negara kita dan akan sentiasa dilindungi kerana: pendapatnya adalah PANDANGAN PERIBADI. Pak menteri juga akan membantu menjelaskan keadaan beliau dan menghalalkan pendapat beliau walaupun dalam pada masa yang sama, kononnya, tidak menyokong pendapat Awang Selamat ini. Sememangnya, Awang Selamat adalah orang yang paling beruntung di Malaysia.
Walaupun, beribu orang menjadi takut membaca pandangan dan pendapat beliau yang sebegitu rasis, namun begitu kelihatannya beliau ini adalah 'penyelamat' dan 'penyampai' aspirasi sebenar segolongan pemimpin di negara ini. Beliau adalah suara rasis dan penyampai rasa hati pemimpin maka dengan itu 'layak' diberi perlindungan dan kekebalan untuk berkata apa sahaja yang beliau rasa betul.
Setiap pandangan beliau yang kelihatan rasis akan disambut baik pula oleh kawan baiknya: PERKASA. PERKASAlah 'kenderaan' orang-orang seperti Awang Selamat untuk terus berkata-kata sambil orang lain mengotakannya. Segala apa yang dikatakan oleh si Awang akan disambut dengan penuh rasa hormat dan disokong dengan sepenuh hati oleh kawannya ini. Merekalah yang kononnya akan melaksanakan apa yang dikatakan oleh si Awang kerana Awang hanya mengeluarkan pendapat manakala orang seperti PERKASA lah yang perlu melaksanakannya.
Sehingga ke hari ini, kekebalan Awang menjadi tanda tanya kepada rakyat Malaysia seperti saya. Mengapakah dia masih selamat seperti namanya sedangkan beliau hampir tanpa gagal cuba memarakkan api perkauman dan kebencian di antara kaum utama di Malaysia. Adakah beliau sememangnya seorang agen yang ditanam untuk memporak-perandakan negara atau sebenarnya alat oleh pemimpin sendiri yang kecut perut hilang kuasa jika berani berkata seperti beliau.
Pendapat beliau sememangnya kelihatan sentiasa mendapat restu pemimpin kerana tiada siapa pun menghalang apa jua yang ingin dikatakan. Bahkan kolum khas beliau sentiasa hidup subur di dada akhbar, disalin semula di laman sesawang orang yang sealiran dan diulas oleh badan-badan NGO pro pemikiran sepertinya. Awang Selamat sememangnya hebat. Awang Selamat sememangnya suara sebenar aspirasi pemimpin parti perkauman.
Terfikir juga adakah Awang tidak pernah berjumpa dengan ayat Al Quran yang menekankan bahawa Allah jadikan manusia ini berbangsa dan berpuak adalah untuk berkenal-kenal dan berbaik-baik dan bukannya mencari musuh dan berburuk sangka dari buka mata hingga putus hayat. Jika beliau tidak pernah membaca atau tahu mengenainya, sepatutnyalah seseorang yang dekat dengan Awang dan PERKASA perlu memberitahu beliau tentang perkara ini. Tidakkah Awang dan kawannya pernah terbaca mengenai maksud ayat bahawa Allah melarang mereka menghina dan mencerca kaum dan agama orang lain sehingga mereka dengan bebasnya berkata sesuka hati mereka.
Adakah dengan hanya bermodalkan pendirian dan pendapat mereka adalah untuk kesejahteraan bangsa menghalalkan mereka untuk berkata apa sahaja dengan menyakiti hati orang lain dan dalam masa yang sama tiada perkara yang berbentuk konstruktif dari mereka.
Tidak nampak di mata kita peranan mereka ini selain cuba memecahbelahkan rakyat negara ini. Boleh disimpulkan kerja mereka hanyalah pertama: memecahkan dan mengkelaskan orang Melayu kepada dua kumpulan iaitu UMNO dan bukan UMNO. Kedua, memecahkan Melayu kepada pejuang bangsa dan pencacai bangsa lain. Ketiga, memecahkan rakyat Malaysia kepada Melayu dan yang lain. Keempat, mengklasifikasikan orang lain sebagai rasis dan ancaman kepada orang Melayu dan negara dan senarai ini akan berterusan dan berpanjangan sehinggalah kiamat dan semuanya berkaitan dengan obsesi rasis mereka.
Tidak nampak pula ada nasihat-nasihat yang berguna yang mampu membangunkan orang Melayu khususnya dan Malaysia umumnya selain cubaan mereka untuk memasakkan unsur ancaman bangsa lain, unsur khianat dan pecah belah ataupun unsur bersangka buruk. Nampaknya tiada modal lain dalam otak mereka selain bangsa lain adalah ancaman yang tidak berkesudahan.
Akan sampai kiamatlah ramai orang Melayu yang menjadi pembaca pendapat mereka terus dihantui perasaan takut tidak berkesudah dan pada masa yang sama tumpul daya fikir bagaimana untuk terus ke depan. Mana mungkin sesuatu bangsa itu akan maju jika pemikiran mereka hanya tahu menyalahkan orang lain dan tidak memandang kelemahan diri sendiri? Sememangnya mereka yang sepemikiran dengan Awang Selamat ini adalah segolongan orang Melayu yang tiada daya saing, mempunyai kompleks inferioriti dan tidak mampu ke depan tanpa disokong dan diberi kelebihan.
Dan sememangnya orang seperti ini tidak mengira mana kaum sekalipun tidak boleh dibenarkan untuk menerajui negara kerana dalam diri mereka ada penyakit yang tidak mampu diubati oleh mana-mana doktor atau bomoh. Mereka ini sememangnya sangat bahaya walaupun pada bangsanya sendiri kerana pemikiran mereka yang terkebelakang tidak mampu membawa negara ke depan. Sememangnya, pendapat mereka seharusnya diletak ditepi dan dijadikan amaran kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa ia adalah sangat bahaya dan perlu dielakkan.
Selagi mana orang seperti ini dibiarkan bersuara maka selagi itulah kita semua akan sentiasa dalam ketakutan dan ketidakpastian. Mereka adalah suara pemecahbelah dan bukan suara penyatu ummah. Maka jangan biarkan mereka terus bermaharajalela.
No comments:
Post a Comment