Friday, April 8, 2011

BOLEH TOLONG DIAM?

Assalamualaikum

Semenjak akhir-akhir ini saya semakin mual dan muak dengan pelbagai spekulasi yang sengaja dimainkan di media massa tentang isu video lucah yang seolah-olah menjadi sumber rujukan paling bernilai dalam sejarah Malaysia. Lebih penting dari segala isu utama dalam negara dan penderitaan rakyat jelata. Seolah-olahnya Malaysia akan 'kiamat' jika video ini tidak dibincangkan walau sehari.

Lihat sahajalah bagaimana media arus perdana memainkan isu video lucah yang belum tentu benarnya. Bukankah ia sangat menjelikkan sesiapa sahaja yang mengikutinya? Dari serendah-rendah kuli politik sehinggalah ke Perdana Menteri masing-masing tidak berhenti-henti bercakap mengenainya. Seolah-olah di Malaysia ini tiada yang lebih penting berbanding satu rakaman video lucah hitam putih yang disebar oleh, malangnya, orang yang mengaku Islam tetapi bertindak dengan cara dan sifat seseorang yang langsung tidak percaya kepada mana-mana Tuhan atau agama. Malahan integriti mereka pun diragui

Pendapat-pendapat ulama dan ahli agama yang menentang penyebaran dan perbincangan video ini diketepikan demi kerana kepentingan dan ketamakkan kuasa dan status quo masing-masing. Video ini diulang tayang hampir setiap hari samada dalam bentuk gambar pegun atau sebaliknya sehinggakan kita terfikir tiadakah perkara lain yang mereka boleh fikirkan selain seks. Semakin hari perasaan benci dengan kejelikkan sikap mereka semakin menebal dalam diri saya sehinggakan saya merasakan mereka-mereka ini tidak lebih dari segolongan manusia yang tiada akhlak tetapi malangnya dibiarkan menerajui negara.

Bukankah banyak lagi perkara yang lebih utama yang seharusnya dibincangkan di Malaysia ini yang jauh lebih penting demi kepentingan rakyat? Adakah 'makanan' seks ini cukup untuk menjadi negara yang berjaya dan terkehadapan? Setiap hari tanpa gagal gerombolan manusia tidak beridea ini mengulas dengan gaya kononnya intelektual mengenai isu ini dengan spekulasi-spekulasi baru dan hujah-hujah yang kadang-kadang kita terfikir kembali adakah golongan ini pernah bersekolah atau tidak.

Ramalan, spekulasi, khabar-khabar angin, manipulasi maklumat menjadi santapan harian mereka dan malangnya, santapan yang menjijikkan ini juga cuba disumbat ke kotak pemikiran rakyat dari setua 90 tahun sehinggalah kanak-kanak kecil yang masih belum kenal pun dengan apa itu alat sulit berlawanan seks. Bukankah golongan ini sepatutnya diklasifikasikan sebagai golongan tandus idea dan runtuh akhlaknya?

Saya tidak dapat menghadam cara pemikiran ini dan saya rasa malu bila memikirkan mereka ini adalah pemimpin negara kita yang dipilih oleh rakyat. Bala yang sedang menimpa kita ini adalah amat sukar diterima. Tiadalah yang lebih teruk dari dipimpin oleh orang-orang yang hanya tahu berspekulasi, berjuang demi kepentingan peribadi dan kroni, menyebar fitnah setiap hari tanpa cuba untuk bersikap lebih bertamadun dalam menangani isu.

Tiada langsung rasa malu dalam diri mereka seolah-olah ini adalah perkara biasa bagi mereka setiap hari. Malangnya mereka tidak sedar bahawa ramai rakyat Malaysia yang tidak kemaruk seks dan gemar mendengar alunan lirik seks ini. Penting sangatkah video seks ini dalam perkembangan kemajuan negara kita? Penting sangatkah video seks ini sehingga kita perlu menontonnya setiap hari di media arus perdana? Penting sangatkah video ini sehingga Perdana Menteri pun terpaksa mengulasnya?

Bukankah kita ada pihak berkuasa yang boleh menjalankan tanggungjawab mereka? Adakah mereka tidak percaya kepada pihak polis mampu menyelesaikan masalah ini sehingga perlu 'berjihad' hari-hari di media demi menegakkan kebenaran video lucah ini? Adakah ini kerja utama mereka? Jelik dan menjijikkan.

Percubaan mereka menjatuhkan maruah orang lain seolah sudah menjadi senjata yang makan tuan. Kelihatan di mata saya orang-orang inilah yang sebenarnya tidak bermaruah, kurang agamanya dan cetek pemikirannya.

Saya mohon lindung dari Allah dari penyakit hati mereka dan diberikan rahmat kepada rakyat negara ini dengan pemimpin yang jauh lebih baik dari mereka.

No comments:

Post a Comment