Wednesday, August 3, 2011

TRAGEDI DAWAMA

Ramadhan kali ini disambut dengan kesedihan oleh hampir 400 pekerja syarikat percetakan Dawama Sdn Bhd apabila mereka ‘dihadiahkan’ dengan surat yang menyatakan mereka diberi cuti tanpa gaji tanpa ada tarikh sehingga bila oleh majikan mereka. Ini rentetan dari krisis yang dihadapi oleh syarikat ini dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menyebabkan bukan sahaja majalah dan buku keluaran DBP gagal berada di pasaran seperti yang sepatutnya bahkan membuka pekung kedua-dua belah pihak yang saling bertelagah.

Apakah perkara yang paling buruk selain mendapat berita bahawa anda dibuang kerja yang bermakna anda hilang mata pencarian oleh sebuah syarikat yang sepatutnya mempunyai status kewangan yang kukuh kesan dari nilaian kontrak yang mencapai jutaan ringgit setahun?

Alasan bahawa syarikat tidak mempunyai cukup dana untuk menampung perbelanjaan pembayaran gaji pekerja adalah sesuatu yang hampir tidak dapat diterima akal kerana agak hampir tidak logic bilamana sebuah syarikat yang sebegitu besar dengan mudah bertukar menjadi syarikat yang sakit kewangannya hanya kerana krisis ini.

Adakah ini menunjukka bahawa syarikat ini sudahpun mempunyai masalahpengurusan kewangan dari awal lagi dan adakah ini yang menyebabkan DBP tidak mampu untuk memberi kepercayaan dan menghormati kontrak yang ditandatangani bersama?

Tindakan member cuti tanpa gaji seperti ini kelihatan seperti satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab oleh sebuah syarikat yang dipimpin oleh bumiputera seperti ini. Syarikat yang wujud sejak 1999 yang didakwa memeperolehi keuntungan yang sangat besar tidak mungkin denganmudah mengabaikan tanggungjawab mereka ke atas pekerja seperti ini.

Saya amat yakin bahawa majority pekerja syarikat ini adalah terdiri di kalangan Melayu Islam yang bakal menyambut Aidilfitri di hujung bulan ini dan apalah nasib mereka bekerja dengan sebuah syarikat bumiputera yang dianugerahkan dengan jutaan ringgit kontrak dari badan kerajaan tetapi kononnya hampir lingkup hanya kerana krisis mereka dengan DBP.

Sekiranya dakwaan DBP itu benar di mana krisis ini berpunca dari kegagalan Dawama untuk memenuhi criteria kualiti yang diharapkan maka amatlah perlu untuk syarikat dan pengurusannya untuk bekerja kea rah peningkatan kualiti yang diinginkan.

Kami tidak redha sekiranya duit cukai yang dikeluarkan rakyat diberi kepada syarikat yang tidak kompeten dan tidak mampu memberikan nilai tambah kepada badan kerajaan. Krisis DBP-Dawama ini bukan sahaja melibatkan masalah kewangan malah lebih dari itu melibatkan integrity dan kredibiliti dua institusi. Pertamanya, DBP sebagai satu badan yang diwujudkan untuk mendaulatkan bahasa tiba-tiba kelihatan buruk di mata masyarakat kerana kegagalan mereka untuk mengeluarkan buku dan majalah di samping kerugian yang kononnya mencecah jutaan ringgit setiap tahun.

Keduanya, kredibiliti syarikat Dawama yang juga merupakan sebuah syarikat bumiputera yang diberikan kontrak kerajaan tetapi gagal memenuhi standard yang diingini. Krisis ini juga menconteng arang di muka kerajaan kerana seolah gagal memilih syarikat yang benar-benar bagus untuk menjalankan kontrak yang dianugerahkan.

Peristiwa-peristiwa seperti ini pasti akan menjadi satu lagi sebab untuk rakyat ragu dengan kredibiliti badan kerajaan dan secara tidak langsung kerajaan itu sendiri. Penderitaan warga kerja Dawama pastinya dirasai oleh ramai lagi warga Malaysia yang lain dan perkembangan mereka akan terus diperhatikan dengan rapat oleh rakyat.

Saya, sebagai rakyat biasa yang bersimpati dengan warga Dawama ingin merayu agar penderitaan mereka dibela dengan baik. Janganlah kerana krisis ini, mereka pula yang menjadi mangsa. Diharapkan supaya syarikat lebih bertanggungjawab dan menjalankan tanggungjawab sivil mereka kepada pekerja. Bukan ini caranya untuk kita menjaga periuk nasi sendiri dengan mengabaikan periuk nasi ratusan orang lain.

Diharapkan kerajaan dapat campur tangan dengan segera dalam hal ini. Pihak yang bersalah seharusnya diberikan penalty yang berat agar tidak berlaku lagi insidens-insidens yang memalukan agensi kerajaan seperti ini di masa akan dating. Semoga semuanya berakhir dengan baik.

No comments:

Post a Comment