Menjadi seorang nelayan bukanlah semudah yang difikirkan. Bekerja di tengah panas di dalam bot yang dipukul gelombang sepanjang hari bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Tambahan pula dengan hasil yang tidak menentu dan pulangan yang tidak seberapa menyebabkan hidup tidaklah sebegitu indah. Selalu kita mendengar keluhan mereka yang hidup susah dan terpaksa bekerja keras kekadang melebihi apa yang mampu fizikal mereka tanggung hanya untuk mencari sesuap nasi.
Perkampungan nelayan amat sinonim dengan dua perkara. Pertamanya ialah taraf hidup yang rata-ratanya miskin dan mungkin daif dan keduanya permasalahan penyalahgunaan dadah. Kawasan nelayan kadang-kadang diibaratkan sebagai lubuk penagih dadah di mana konsentrasi penagih adalah lebih tinggi di kawasan ini berbanding dengan kawasan lain.
Cuba menyingkap apakah masalah di sebalik fenomena ini kita akan bertemu dengan beberapa jawapan yang mampu memberi pencerahan. Namun begitu saya tidak berminat untuk membincangkan kesemuanya dan lebih ingin menumpukan kepada satu factor yang rasa amat perlu diambil berat dan diberi perhatian yang sewajarnya. Apakah benar perkara ini berlaku ataupun satu alasan yang diberikan untuk mereka cuba mengalihkan tanggungjawab ini kepada orang lain.
Pernah berjumpa dengan beberapa pesalah penyalahgunaan dadah dan berkesempatan menemubual mereka ini. Alasan utama yang diberikan mereka atas penyalahgunaan ini adalah kerana persekitaran kerja yang amat teruk yang memerlukan kudrat, masa dan tenaga yang banyak. Mereka menggunakan alasan ini untuk menghalalkan aktiviti mereka. Dadah-dadah berbentuk stimulant sebagai banyak digunakan demi untuk kononnya memberikan mereka tenaga dan ketahanan yang lebih panjang dan membolehkan mereka berada di laut dengan lebih lama.
Mengikut maklumat yang diberikan oleh beberapa orang nelayan dan pegawai AADK yang pernah dijumpai, kebanyakkan mereka menggunakan pelbagai jenis dadah yang mampu memberikan mereka tenaga dan ketahanan tambahan ini semasa mereka turun ke laut. Namun malangnya, kebiasaan ini akhirnya menjadi ketagihan yang mengheret mereka lebih jauh ke dalam putaran kemiskinan dan kesengsaraan. Lebih malang lagi mereka dijangkiti dengan pelbagai jenis penyakit yang sangat berbahaya seperti HIV, Hepatis B dan C.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, malang yang sengaja ditempah ini akhirnya menyebabkan mereka bukan sahaja tidak mampu keluar dari lubuk kemiskinan malahan mengheret keseluruhan ahli keluarga mereka sengsara dengan keadaan ini.
Jadi dari manakah mereka memperolehi bekalan dadah yang berterusan ini? Bilamana ada permintaan, tentunya manusia-manusia yang menjadi pembekal berkeliaran di kawasan ini. Manusia-manusia ini bukan sahaja meraih kekayaan atas kesengsaraan orang lain malah menjadi factor kesinambungan memastikan sentiasa adanya generasi baru pewaris penagihan di perkampungan nelayan.
Apa yang lebih malang lagi, kebanyakkan dari nelayan yang pernah ditemui menyatakan bahawa mereka sebenarnya mendapat bekalan yang konsisten dan percuma dari toke mereka sendiri. Dadah diberikan nama yang lebih manis didengar. Mereka mengistilahkan dadah ini sebagai ‘ubat’. Najis ini dengan selesanya diberi nama ubat oleh toke mereka dan dibekalkan percuma untuk membolehkan kulinya bekerja dengan lebih kuat dan tahan lama. Mungkin perkara ini sukar untuk dipercayai. Bahkan bagi dirsaya sendiri ianya agak meragukan. Namun begitu bila mana majority yang dating juga menyatakan perkara yang sama saya tidak mampu untuk sekadar mendengar dan membiarkan ianya berlalu begitu sahaja.
Mungkin bagi pihak toke-toke bot, produktiviti dan keuntungan adalah perkara yang amat penting tetapi saya merasakan ada perkara yang lebih penting dari itu yang perlu difikirkan bersama. Adakah kita perlu mengorbankan generasi nelayan ini hanya sekadar untuk tujuan keuntungan. Dadah bukannya ubat tetapi adalah racun penghancur bangsa. Adakah kita hanya terus melihat mereka ini musnah kerana kerakusan hawa nafsu orang lain yang hanya memikirkan kekayaan dan kesenangan mereka.
Mungkin ianya sukar dipercayai tetapi sekiranya hampir semua yang dating menceritakan perkara yang sama mestinya ada sesuatu yang tidak kena. Pihak berkuasa seharusnya melihat perkara ini dengan serius dan pencegahan harus dilakukan dengan agresif. Mohon semua pihak supaya mengambil perhatian ke atas kawasan yang dikategorikan panas di sebelah utara tanah air. Biarlah aktiviti ke laut mereka lumpuh sehari atau dua disebabkan oleh tindakan penguatkuasaan kita dari dibiarkan semua mereka terus dengan dunia dadah mereka yang menghancurkan sehingga bila-bila.
No comments:
Post a Comment