Wednesday, July 13, 2011

INI BUKAN PASAL MELAYU

BERSIH 2.0 telahpun berlalu dan walaupun begitu sehingga hari ini pun ia masih lagi hangat diperkatakan. Pelbagai pendapat dan ulasan diberikan samada menyokong ataupun menentang BERSIH 2.0 itu. Terlalu banyak diperkatakan sehingga informasi mengenainya semakin lama semakin jelas walaupun selepas perhimpunan ini diadakan. Mungkin di mata rakyat biasa yang tidak mengikuti perhimpunan ini secara dekat, BERSIH 2.0 dianggap gagal henya kerana ia dikatakan begitu oleh media perdana. Namun begitu, bagi mereka yang mencari informasi ekstra, ia adalah sebaliknya dan kesannya sangatlah ketara.

Satu perkara yang menjadi buah mulut di kalanagn orang Melayu yang pro kepada pemerintah adalah BERSIH 2.0 membuktikan sekali lagi kepada rakyat Malaysia bahwa BERSIH 2.0 menjadi saksi orang Melayu menjadi tunggangan orang lain. Majority yang hadir ini diinterpretasi sebagai orang Melayu yang terpedaya dan diperguna untuk agenda orang lain. Kesannya, bukan sahaja di kalangan orang Melayu yang tradisinya menyokong pemerintah tetapi juga orang Melayu di atas pagar yang enggan untuk mencari informasi tambahan ini.

Adalah amat memalukan bahawa mereka masih lagi terperap di dalam kepompong pemikiran sempit mereka. Mereka tidak mampu berfikir di luar kotak dan mungkin sahaja mahu terus dilihat begitu. Kenyataan bahawa orang Melayu yang hadir hanyalah sekadar terpedaya adalah satu dakyah yang menunjukkan ketidakmatangan pemikiran dan kesempitan idea. Interpretasi sebegitu tidak mungkin dating dari orang yang dapat berfikir bahawa ia bukannya sekadar ikut-ikutan sahaja.

Ingin dibetulkan bahawa kehadiran sebegitu ramai orang Melayu di dalam perhimpunan itu menunjukkan bahawa di Malaysia masih ramai lagi orang Melayu yang ingin melihat bumi ini dipimpin dan diurus dengan adil. Inimembuktikan bahawa orang Melayu sanggup ke hadapan turun ke gelanggang demi menegakkan prinsip keadilan yang sama-sama dijunjung dengan kaum-kaum lain demi melihat Malaysia yang lebih baik.

Media memainkan isu bahawa majority yang hadir adalah dari PAS iaitu parti Melayu kedua terbesar namun mereka terlupa bahawa kehadiran sebegitu ramai orang PAS di dalam perhimpunan itu menunjukkan bahawa ahli PAS memegang prinsip keadilan yang sememangnya dijun jung oleh orang-orang yang mengaku Islam.

Mereka ini berbondong-bondong turun bukanlah kerana tertipu dengan Pengerusi BERSIH tetapi adalah kerana prinsip yang sama-sama dipegang. Siapa pun yang memimpin gerakan ini pastinya akan mendapat sokongan penuh orang-orang PAS dan pimpinannya kerana kita juga mahu dilihat benar-benar memperjuangkan keadilan dan prinsipnya dan bukan sekadar beretorik di gelanggang ceramah sahaja.

Keberanian begitu ramai orang Melayu yang turun adalah bukti bahawa mereka pun mahu melihat Malaysia yang lebih baik dan bukti bahawa Malaysia tidak akan punah hanya kerana Pakatan Rakyat yang didokongi oleh 3 parti utama itu mengambil alih pemerintahan melalui pilihan raya nanti.

Ini bukan pasal Melayu. Ini adalah kerana prinsip perjuangan mereka-mereka yang turun. Mengandaikan bahawa orang Melayu yang turun adalah golongan yang lemah dan mudah dipengaruhi adalah satu kesilapan yang besar dan mengelirukan. Mereka turun bukan kerana bangsa mereka ramai yang turun tetatpi kerana kepercayaan mereka. Sepatutnya orang Melayu berbangga kerana ada lagi anak bangsa mereka berani ke depan untuk menyatakan pendirian sebegini. Mereka bukanlah hanya sekadar pak turut yang duduk di rumah sahaja tetapi sekumpulan orang Melayu yang berfikir dan bertindak atas prisip mereka.

Adakah kita perlu takut dengan mereka ini? Tidak sama sekali. Mereka juga orang-orang yang cintakan keamanan dan tidak mahu porak peranda. Jika merusuhlah tujuan mereka hari itu, saya tidak rasa mereka hanya membawa botol air penghilang dahaga dan sedikit garam bagi menjadi penawar gas pemedih mata.

Turun mereka kerana prinsip dan kita pasti akan lihat bahawa mereka akan turun lagi dan lagi demi menunjukkan bahawa mereka benar-benar orang-orang yang ada prinsip. Inilah dia muka-muka Melayu yang akan menjadi penyokong segala gerakan menegak keadilan dan kita semua tidak perlu risau apa-apa kerana mereka cintakan keamanan dan bencikan penindasan.

Mereka telah keluar beramai-ramai dan membuktikan mereka tidak berniat membuat kacau. Cuma menyatakan pendirian dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada sesiapa sahaja yang cuba melakukan perubahan kepada kebaikan. Inilah sebenarnya semangat sebenar orang Melayu beragama Islam tidka dibutakan oleh warna kulitnya dan tidak digahkan hanya kerana bangsanya.

No comments:

Post a Comment