Bilamana mereka menyebut majoriti rakyat Malaysia tidak menyokong perhimpunan ini diadakan saya tidak dapat tidak mempercayainya dari sudut rakyat yang dimaksudkan itu pastinya rakyat yang menyokong parti pemerintah dan sekutunya. Kejayaan mereka ini seharusnya dipuji dan dipuja dan dikenang sehingga bila-bila bukan sahaja oleh penyokong parti pemerintah tetapi yang lebih penting lagi oleh penyokong gerakan yang ingin memastikan pilihanraya yang akan dilaksanakan pada masa yang akan datang lebih telus dan adil untuk semua pihak.
Bilamana disebut telus, maksudnya bukan sahaja pembangkang sekarang akan dapat manfaatnya tetapi bakal parti pembangkang akan datang juga akan dapat mendapat manfaat juga. Mari kita kupas kembali apakah senarai kejayaan yang telah pun mereka berjaya laksanakan.
Pertamanya, mereka telah berjaya membantu mempromosi BERSIH 2.0 kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk mereka yang tidak ambil pusing pun oleh sebilangan rakyat yang tidak minat politik. Tanpa bantuan mereka saya tidak rasa organisasi BERSIH 2.0 mampu menyebarluaskan maklumat mengenai BERSIH 2.0. Perkhidmatan percuma yang diberikan oleh seluruh jentera propaganda kerajaan membolehkan lebih ramai rakyat tahu mengenainya dan mula mencari maklumat dengan lebih banyak lagi mengenai perhimpunan ini.
Yang lebih membantu lagi cara mana maklumat-maklumat yang cuba disebar nampaknya terlalu berat sebelah sehinggakan rakyat juga mula tertanya-tanya kebenaran maklumat yang mereka sampaikan.
Keduanya, ucapan tahniah juga kerana kerisauan mereka tentang perhimpunan ini telah memberi peluang kepada masyarakat menilai sejauh mana ianya berasas. Tidak dapat tidak rakyat mula tertanya-tanya atas dasar apakah sebenarnya kerajaan terlalu takut dengan perhimpunan ini sedangkan organisasi penganjur telahpun memberi jaminan berulang kali mengenai keinginan mereka untuk mengadakan perhimpunan ini secara aman dan sanggup bekerjasama.
Bahkan, mereka juga sanggup berhimpun secara aman bersama-sama dua lagi kumpulan yang telahpun memberi amaran mahu membuat kacau dan menggagalkan perhimpunan mereka. Bukan itu sahaja, sanggup pula berhimpun dengan mereka yang 'menjanjikan' pertumpahan darah dan sanggup berputih tulang demi mempertahankan pemimpin yang mereka dewakan.
Ketakutan dan ancaman ini menyebabkan rakyat mula berfikir siapakah sebenarnya yang lebih merbahaya dan berada di pihak yang salah dan mahu terus diri mereka dibiarkan berkuasa dalam keadaan rakyat tidak tahu.
Ketiganya, kejayaan mereka membiarkan perhimpunan-perhimpunan jalanan lain terus dilakukan di seluruh negara hampir setiap hari di mana kesemua perhimpunan tersebut jelas menyokong aspirasi pemerintah. Mereka bukan sahaja dapat berhimpun sehingga selesai tanpa banyak halangan bahkan diberikan liputan yang meluas pula di dalam media.
Dengan sokongan berat sebelah yang ditunjukkan oleh kerajaan nampaknya masyarakat akan lebih tahu bahawa sesuatu sememangnya tidak kena di negara kita.
Tahniah sekali lagi.
Tidak dilupakan juga kepada Menteri di Kementerian Dalam Negeri yang telahpun mengeluarkan kenyataan pengharaman perhimpunan ini tetapi tidak pula mengharamkan dua lagi perhimpunan yang ingin diadakan bersama. Ini sememangnya satu langkah terbijak dari pihak mereka demi memastikan bahawa imej calar mereka yang berat sebelah akan terus kekal seperti yang mereka ingin pertahankan.
Dan juga tangkapan beserta pertuduhan-pertuduhan yang sangat menarik yang dilemparkan mereka sesungguhnya menambahkan garam pada perhimpunan kali ini. Sesungguhnya kerajaan telah dan bakal melakukan segalanya demi memastikan BERSIH 2.0 ini kotor namun usaha mereka semakin tidak menujukkan kejayaannya.
Tahniah kerana kegagalan anda
No comments:
Post a Comment